I made this widget at MyFlashFetish.com.

About Me

My Photo
Muhd Maawardi Bin Ahmad
Ijazah Sarjana Muda Fakulti Pendidikan [Pendidikan Islam/Bahasa Arab] Universiti Kebangsaan Malaysia [UKM]
View my complete profile

Sunday, 30 October 2011

Hakikat Hidup



SUSAH dan senang. Dua entiti yang berbeza serta memberi konotasi yang berbeza juga. Antara susah dan senang, ramai yang memilih untuk senang.Kerana senang akan memberi keselesaan bukan sahaja dari aspek fizikal malahan juga mental. Senang akan membuat kehidupan lebih bermakna.

Itu adalah pendapat sesetengah orang.

Susah pula ditafsirkan sebagai suatu keadaan yang bakal membuatkan fizikal dan mental seseorang sakit, pening, dan kadang boleh melarat kepada suatu keadaan yang lebih teruk. Malah ada yang sanggup membunuh diri demi untuk tidak menghadapi satu keadaan yang dinamakan kesusahan.

Dalam kehidupan manusia, susah dan senang telah menjadi suatu kewajipan yang harus dirasai. Tidak ada orang yang hidupnya sentiasa susah, dan tiada juga yang sentiasa senang. Kedua-dua keadaan ini saling bertukar ganti menemani kehidupan manusia. Semua manusia sama. Akan mengalami situasi susah dan senang. Namun, sejauh manakah mereka mampu menghadapi dan menanganinya.

Manusia memerlukan tiga perkara yang penting untuk hidup iaitu keperluan asasi (dhoruriyyat), keperluan tambahan (hajiyyat) dan juga kesempurnaan (tahsiniyyat).

Keperluan asasi merangkumi lima perkara seperti menjaga agama, nyawa, keturunan (termasuk maruah), akal, dan juga harta. Keperluan tambahan pula diperlukan oleh manusia untuk tujuan kesenangan dan menghilangkan kesusahan. 

Ia merangkumi ibadat, adat, muamalat dan juga jinayat. Contoh bagi hajiyyat dalam ibadat ialah rukhsah-rukhsah yang diberikan untuk memudahkan kita semua. Contoh dalam bukan ibadat pula ialah seperti diharuskan jual salam, tempahan dan seumpamanya. Juga diharuskan perceraian untuk melepaskan daripada ikatan perkahwinan yang musnah.

Tahsiniyyat pula ialah satu perkara yang menjadikan kehidupan manusia berada dalam keadaan adab yang cukup tinggi dan akhlak yang baik, iaitu dengan mengambil perkara-perkara yang baik-baik daripada kehidupan dan meninggalkan benda-benda yang kotor yang tidak diterima oleh akal yang baik. Ia terkumpul dalam kemuliaan akhlak. Contoh bagi tahsiniyyat dalam ibadat ialah bersuci, menghilangkan najis, menutup aurat dan sebagainya. Ia juga terdapat dalam semua keadaan, samalah seperti dhoruriyyat dan juga hajiyyat.
 

Menjaga diri dalam menghadapi kesusahan dan kesenangan bukanlah semudah yang disangka. Kekuatan fizikal dan ketabahan jiwa harus konsisten. Di zaman yang serba moden ini, ramai yang menjadi mangsa kepada kesenangan dan tidak mahu memandang kesusahan sebagai sahabat sejati yang boleh memberi pengajaran berharga kepada mereka.

Kesenangan yang dicapai melalui jalan yang singkat boleh memberi kesan jangkamasa pendek dan panjang dalam kehidupan seseorang. Manakala kesenangan yang dicapai melalui usaha yang sukar, kesusahan yang pelbagai, bakal memberi kesan yang baik dalam diri seseorang. Itupun, jika mereka berfikiran positif terhadap setiap kesusahan yang dialami dahulu.

Pelbagai faktor menentukan persepsi istilah susah dan senang pada hari ini. Struktur ekonomi yang meningkat boleh menyebabkan jurang ekonomi antara yang miskin dan kaya bertambah besar.
 

Sosiobudaya yang semakin berubah akibat proses globalisasi mencipta trend baru bergerak pantas mendepani dunia. Sistem politik, pentadbiran dan pengurusan yang semakin efisyen juga memberi kesan positif dan negatif kepada rakyat.
 

Antara faktor-faktor di atas, susah dan senang menjadi entiti yang semakin serius dipandang berbanding dengan zaman dahulu di mana desakan hidup amat rendah.

Kesenangan pada hari ini lebih mudah dicapai oleh sesiapa sahaja. Apatah lagi berbekalkan kecintaan pada dunia yang berlebihan. Hanya segelintir sahaja yang mengecapi kesenangan, meraih kejayaan demi untuk memperjuang Islam dan membantu masyarakat Islam lain yang masih hidup dalam kesusahan.

Seorang pelajar sudah lupa pada tanggungjawab menimba ilmu yang sewajarnya. Ilmu yang kini boleh diperolehi dari pelbagai sumber tanpa mengira kebebenaran dan kepalsuan menjadikan pelajar tidak menghargai ilmu itu sebagaimana patutnya. Ada pula yang menganggap tanpa ilmu mereka masih mampu hidup dengan baik dan mewah.
 

Maka, terjadilah pelajar yang hanya bersekolah untuk membuang masa dan bersosial. Ilmu di peringkat yang lebih luas pula menjadi bahan dagangan yang baik.
 

Yuran pengajian dan sekolah yang semakin meningkat menyebabkan persepsi masyarakat terhadap ilmu berubah. Ilmu tidak lagi dicintai sebagaimana patutnya. Ilmu dijadikan medium untuk mencapai kekayaan dan kesenangan semata.
 

Bagi mereka yang hidup susah, sudah pasti pencapaian ke arah ilmu amat sukar sehingga mereka mengambil keputusan tidak mencari ilmu itu.

Seorang bapa atau ibu yang memilih untuk hidup senang terpaksa berhempas pulas menyediakan kesenangan itu untuk bekalan diri mereka dan keluarga. Desakan dunia luar menjadikan mereka juga berlumba-lumba mencari kesenangan agar tidak ketinggalan dalam masayarat. Akibatnya, institusi kekeluargaan teguh dengan megah atas nama kekayaan dan bukan sosialisasi yang sepatutnya ada dalam diri setiap anak-anak.
 

Nilai dan budaya yang mengukuhkan hidup seseorang musnah hanya kerana kesenangan yang dicari. Anak-anak terbiar mencari erti hidup dengan persepsi mereka sendiri.
 

Seorang pemimpin sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan jawatan yang mempunyai kuasa serta kelebihan yang pelbagai. Imbuhan yang diberi kepada pemimpin cukup mewah, atas dasar mereka menjaga kebajikan dan kemaslahatan rakyat. Kesenangan itu yang kebanyakan dari mereka dambakan. Kesusahan untuk membela rakyat sering dipandang remeh dan terabai. Akibatnya, pemimpin seperti ini akan hanya memiskinkan dan menyusahkan orang yang dipimpin kelak.
 

Seorang individu memilih jalan yang senang untuk memiliki kekayaan dengan mencuri, merompak dan mungkin juga mengemis dengan berpura-pura menjadi manusia yang tidak normal.

Seorang pekerja mungkin sahaja memilih untuk mencapai kesenangan dengan mudah melalui sifat mengadu domba, dan bermuka-muka demi menuntut sebuah jawatan dan gaji yang lebih lumayan. Sekurang-kurangnya itu juga satu usaha walaupun sangat tidak bermoral. Lebih senang jika hanya pergi ke pejabat untuk menghabiskan waktu dengan melayari internet, mendengar lagu, bergosip dan sebagainya. Hujung bulan gaji akan diberi.

Seorang perempuan mungkin sahaja memilih untuk menjadi pelacur atau pelayan yang boleh mendatangkan kesenangan dan kemewahan dengan mudah. Alasannya cukup senang, iaitu susah mendapatkan pekerjaan lain dengan kelulusan yang kecil dan tidak mahu hidup susah.

Seorang penulis, pengkarya, penggiat filem dan wartawan mungkin sahaja boleh menulis atau menghasilkan karya yang bukan-bukan dan tidak diketahui kebenarannya dengan alasan karya sebegitu senang mendapat tempat di hati masyarakat dan menjadi trend terkini untuk memaparkan karya-karya yang kebanyakannya berunsur fantasi dosa. Akibatnya, khalayak pembaca akan terbudaya dengan bahan bacaan dan karya yang tidak berkualiti atau karut semata.

Hal-hal ini berlaku hanya disebabkan kesalahfaham tentang konsep kesenangan dan kesusahan. Kebanyakan dari kita memandang susah sebagai susah dan senang sebagai senang semata. Tidak ramai yang mengangap bahawa susah dan senang digandingkan bersama sebagai sebuah roda yang melingkari kehidupan manusia. Kita perlu merasa susah dan senang.

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Anbiya’ ayat 35 yang bermaksud:

“Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.”

Jelas, Allah memberi kesusahan dan kesenangan sebagai ujian buat hambanya. Kesusahan dan kesenangan bukan sahaja membentuk peribadi yang mulia jika ditangani dengan baik, malah memberitahu kepada kita bahawa setiap apa yang berlaku kepada kita adalah datang daripada Tuhan.
 

Merasai dan menikmati kesusahan dan kesenangan harus disulami dengan persiapan yang baik. Persiapan itu ialah mental yang positif dan fizikal yang sihat. Sifat-sifat sabar, tawaduk dan istiqamah adalah antara sifat yang boleh menukar persepsi negatif kita terhadap kesusahan. Kesederhanaan dalam melakukan apa sahaja juga boleh mengubah persepsi kita terhadap konsep kesenangan dan kesusahan

Tiga perkara yang penting iaitu keperluan asasi (dhoruriyyat), keperluan tambahan (hajiyyat) dan juga kesempurnaan (tahsiniyyat), harus diteliti dengan baik. Keperluan asasi yang mencukupi boleh menentukan bagaimana keperluan tambahan dan kesempurnaan dalam hidup dapat dicapai.
 
Begitu juga kesempurnaan akhlak yang ada dalam diri manusia boleh menentukan samaada kita memerlukan kesenangan yang banyak atau tidak.

Mengingatkan kesusahan akan menjadikan kita lebih menghargai kesenangan dan keselesaan. Hal ini juga akan menjadikan kita tidak lupa kepada mereka yang masih susah di luar sana. Dengan kesenangan yang kita ada, bantulah mereka yang susah kerana jaminan Allah s.w.t bagi mereka yang membantu orang lain yang susah amat besar.

Kadang- kadang Allah hilangkan sekejap matahari. Kemudian Allah datangkan pula guruh dan kilat. Puas kita menangis mencari di mana matahari. Rupanya Allah mahu hadiahkan kita pelangi yang indah. Oleh itu, alihkan pandangan kita bahawa disebalik susah ada kesenangan yang boleh kita kecapi. Dan di sebalik kesenangan, ada kesusahan yang bakal mengajar kita menjadi lebih baik.

1 comment: